: Pemerkasaan Seni Melalui Pameran Dreamscape & Art Journaling 40450 - Time Atlas: Between Then & When Hasil Kerjasama UiTM Dan Galeri & Muzium Artjamila
SHAH ALAM, 25 OKTOBER 2025 (Sabtu) – Dua pameran seni bertajuk Dreamscape: Musings of the Soul dan Art Journaling 40450 - Time Atlas: Between Then & When telah berlangsung dengan jayanya hasil kerjasama strategik antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Galeri & Muzium Artjamila selaku rakan Memorandum Persefahaman (MoU).


Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Puan Anfaal binti Saari, EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor. Dalam ucapannya ketika sesi melihat karya beliau merakamkan ucapan syabas dan penghargaan kepada UiTM dan Artjamila Galeri atas usaha menganjurkan pameran seni ini. Beliau menegaskan bahawa ruang seni dan budaya adalah elemen penting dalam pembangunan negara masa kini.


Pameran Dreamscape menampilkan pameran solo Jemima Shaiful, artis residen galeri yang dikurasi oleh Prof. Madya Dr. Mumtaz Mokhtar dari FSSR UiTM Shah Alam. Karya-karya ini merupakan interpretasi visual terhadap puisi hasil tulisan Jemima sendiri yang menjadikan seni puisi sebagai inspirasi utama dalam penghasilan visualnya. Menurut kurator meskipun Jemima tidak mempunyai latar pendidikan formal dalam seni tetapi kemahiran semula jadi beliau terserlah melalui karya-karya yang dihasilkan Kebanyakan karya yang dihasilkan berunsurkan alam. Gabungan sastera dan seni visual menerusi puisi dan lukisan juga disifatkan sebagai satu pencapaian kreatif yang luar biasa, memperlihatkan kekuatan naratif dan ketulenan ekspresi dalam seni.


Manakala pameran Art Journaling 40450 - Time Atlas: Between Then & When pula dikurasi oleh Dr. Zuriati Mohamed Shaari turut menampilkan hasil karya seni jurnal oleh pelajar, pensyarah dan komuniti. Art journal merupakan gabungan ekspresi visual dan penulisan peribadi seperti lakaran, kolaj, nota yang merakam emosi, pengalaman silam dan refleksi diri. Ia memberikan satu kepuasan tentang ekspresi emosi tanpa terikat oleh struktur formal. Pameran ini juga sebagai ruang ekspresi peribadi yang bersifat terapeutik banyak menggunakan media campuran dan pelbagai permukaan seperti kanvas, kertas dan dibingkaikan.


Kedua-dua pameran ini merupakan kesinambungan dari program terdahulu seperti Journal Jam yang telah diadakan di Foyer FSSR UiTM Shah Alam pada 13 Ogos 2025 serta Bengkel Lino Print & Watercolor pada 24 Ogos 2025. Pameran dibuka kepada umum sehingga 9 November 2025 di Galeri & Muzium Artjamila. Orang ramai dijemput hadir.

Teks:
Nurul Izza Ab Aziz
Foto:
Ts. Nik Azidah Nik Aziz
